Sehebat mana pun
seseorang, pasti dia memerlukan jasa orang lain. Sehina mana pun seseorang,
pasti dia sudah pernah berbudi kepada orang lain. Ertinya, setiap orang ada
nilai dan harga dirinya di sisi orang lain. Maka tidak patutlah timbul
hina-menghina dan pecah-belah, kerana kita sebenarnya saling memerlukan.
Kerana itu
janganlah merasa kita ini cukup gagah, tidak perlu kepada orang lain. Lantaran
itu kita menyombongkan diri terhadap orang lain terutama orang yang lebih bawah
daripada kita, seperti orang yang kita rasakan lebih miskin, lebih bodoh dan
rendah pangkatnya daripada kita.
Sekalipun kita
raja apalagi seorang rakyat biasa, atau kita majikan, apalagi kalau kita
seorang kuli, sebenarnya kita ini lemah dan serba kurang. Kekuatan dan
kehebatan kita adalah hasil pengorbanan orang lain. Tanpa pengorbanan dan
kerjasama orang lain, kita tidak mungkin boleh memiliki keistimewaan dan
kemuliaan seperti sekarang.
Tanpa tukang
rumah, kita akan menjadi orang yang tidak ada tempat tinggal, terpaksa hidup
berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit. Tanpa petani, kita ketiadaan beras,
sayur-sayuran dan buah-buahan. Tanpa nelayan kita tidak akan berlauk. Tanpa
tukang jahit, kita tidak akan berbaju. Tanpa tukang masak kita tidak dapat
merasa makanan lazat. Tanpa penjual kita tidak ada bekalan makanan. Tanpa
pekerja kita tidak akan dapat keperluan-keperluan hidup yang bermacam-macam
jenis.
Pendek kata
hidup kita ini sentiasa bergantung dan bersandar pada jasa dan pengorbanan
orang lain. Seorang yang mahu bebas daripada mengharap sumbangan orang lain
lebih-lebih lagi dengan Allah pasti akan merasa sangat susah bahkan mungkin
akan mati kelaparan. Demikianlah sunnatullah, dijadikan manusia terpaksa merasa
perlu kepada manusia lain agar mereka saling merasa terhutang budi dan
perlu-memerlukan.
Rupa-rupanya
sudah banyak kita menerima budi dan jasa orang lain. Bahkan mungkin jasa orang
pada kita lebih besar dan lebih banyak daripada apa yang terdaya kita berikan
kepada mereka. Kerana itu kita sepatutnya merasa malu dan terhutang budi kepada
manusia lain lebih-lebih lagi kepada Allah SWT Pemilik Segalanya.
Sumbangan mereka
besar pada tamadun manusia. Seeloknya kita mencari jalan bagaimana untuk
membalas budi mereka itu dan mencari jalan bagaimana untuk menghiburkan mereka
atau bagaimana untuk menolong memenuhi keperluan-keperluan hidup mereka.
Sepatutnya kita
muliakan mereka sesuai dengan jasa mereka. Jangan sekali-kali kita sombong dan
angkuh terhadap mereka dan membiarkan mereka dalam kesusahan atau meletakkan
mereka di taraf yang hina seolah-olah merekalah manusia yang tidak berharga dan
tidak berguna apa-apa di dalam kehidupan.
Di sisi Allah
barangkali darjat mereka lebih mulia daripada kita.
Allah berfirman,
إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ
عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ
Maksudnya: “Semulia-mulia
kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa.” (Al Hujurat: 13)
Kalaulah hal ini
diinsafi dan disedari sebenar-benarnya oleh setiap manusia, tiada seorang pun
tergamak untuk berlaku sombong dengan orang lain. Sebaliknya, masing-masing
rasa rendah diri dan memandang orang lain dengan rasa hormat dan kasih sayang.
Allah Yang Maha
Bijaksana mencipta manusia pelbagai rupa, kelebihan dan kekurangan agar mereka
lengkap melengkapi antara satu sama lain. Perkara begini sering dijadikan hujah
untuk mengatakan Allah tidak adil, menciptakan manusia tidak sama rata, ada
kaya, ada yang miskin, ada cantik, ada yang buruk rupa...sebenarnya disitu
terdapat hikmah menunjukkan Maha Adil, Maha Pencipta, Maha Bijaksana Allah SWT.
Tidak mungkin
jari-jari dapat digengg
am jika semua jari-jari itu sama saiz dan panjangnya
Tidak mungkin
jari-jari dapat digenggam jika semua jari-jari itu sama saiz dan panjangnya
Yang Allah nilai
pada manusia itu hanya taqwanya. Allah jadikan manusia ini sedemikian rupa,
agar berlumba-lumba berbekal dan mencari taqwa itu, agar selamat di akhirat
nanti. Sedangkan jari-jari di tangan tidak Allah jadikan sama rata. Ada yang
besar, ada yang halus, ada yang panjang, ada yang pendek, agar dapat memegang
dan menggenggam.
Bila hakikat itu
dilupakan, lahirlah sombong dan angkuh yang membawa kepada pergaduhan dan
persengketaan. Sebaliknya jika dapat difahami bahawa kita sebenarnya saling
memerlukan, akan amanlah hidup manusia ini.
Alhasil manusia
akan hidup bersatu padu dalam satu susunan hidup masyarakat yang sama rata dan
hormat-menghormati serta saling merasa perlu memerlukan antara satu sama lain.
Tidak ada lagi masyarakat super scale, first class, second class, third class
dan no class bahkan semuanya senasib. Hanya yang membezakan ketika itu adalah
TAQWA, yang jadi penilainya ialah Allah SWT.
Ya, rupanya kita
senasib. Senasib ertinya masing-masing tidak lepas daripada menerima dan
mengharap bantuan orang lain. Senasib juga ertinya tidak lepas daripada
kekuasaan Allah SWT, tidak lepas daripada dimatikan oleh Allah, tidak lepas
daripada Alam Barzakh dan Alam Akhirat serta daripada Syurga dan Neraka.
Maknanya manusia semuanya jadi satu kelas, satu hati dan benar-benar bersatu.
Hari ini
kesedaran begitu belum wujud dalam masyarakat kita. Tidak ramai yang faham
kenapa Allah jadikan orang besar, orang kecil, orang pandai, orang jahil, orang
kaya, orang miskin, tauke, kuli dan lain-lain lagi. Kerana itu manusia tidak
sedar yang mereka saling perlu-memerlukan, kait-mengait dan berhubung dengan
hubungan yang penting. Apabila hal ini tidak disedari, terjadilah keadaan
ketika masing-masing terasa dirinya lebih daripada orang lain.
Manakala yang
kurang pula rasa hina diri dan hasad dengki. Lalu manusia hidup berantakan,
pecah-belah dan tekan-menekan. Tidak ada kedamaian dan kasih sayang lagi.
Kehidupan menjadi begitu tegang dan meruncing. Kebahagiaan di dunia sering
terancam, di akhirat lebih-lebih lagi.
Menyedari
hakikat ini marilah kita sama-sama merenung dan berfikir untuk mengubah sikap,
membaiki keadaan dengan masing-masing memulakan sikap menghormati orang lain
sebagaimana mereka menghormati dan mengasihi diri sendiri. Pernah Sayidina Muaz
bertanya kepada Rasulullah
ﷺ,
”Bagaimana untuk selamat di hari Hisab nanti?”, maka jawab Rasulullah, ”Engkau
kasihi orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri.”
Nukilan:
28 Jamadil Awwal
1432H
01 Mei 2011