Blog ini merupakan blog rasmi Mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling 1 (BNK 1) ambilan Januari 2013 selepas menamatkan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP). Blog ini adalah hasil daripada usaha dan kerjasama daripada rakan kelas yang seramai 22 orang iaitu seramai 7 orang lelaki dan 15 orang perempuan.

Friday 6 September 2013

10,000 Jawatan Pembantu Pentadbiran : Bantu Ringankan Beban Guru - Tan Sri Muhyiddin

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah-sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam menjalankan tanggungjawab pentadbiran.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rancangan yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
"Memang guru ada terasa beban dengan kerja-kerja pentadbiran tetapi itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru.
"Begitupun, antara langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang Pembantu Pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Soal Jawab TV3 di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, pelan yang mengambil tempoh dua tahun kajian itu sememangnya memberi penekanan besar kepada soal guru yang berkualiti dan berkemahiran.
Katanya, daripada 35,000 guru Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan penuh, sebanyak 5,000 guru telah diberikan latihan dan 10,000 guru lagi akan mengikuti latihan sama.
"Tidak hanya terbatas kepada guru Bahasa Inggeris, sebanyak 410,000 guru di seluruh negara akan dinilai dalam instrumen bersepadu," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, PPPM akan memberi tumpuan untuk melonjakkan bidang matematik dan sains di samping melahirkan modal insan yang berkualiti.
"Kita mahu melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum serta ada perimbangan sahsiah diri dan budi pekerti, dengan kata lain, insan kamil yang lengkap serba-serbi," katanya.
Jelas beliau, PPPM dihasilkan menerusi pelbagai rundingan meja bulat, program hari terbuka dan telah menerima beribu-ribu memorandum daripada golongan pendidik, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta segelintir golongan ekstrem.

"Dalam menyediakan laporan ini juga, kita mendapatkan pandangan pakar pendidikan dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada serta pakar-pakar pendidikan tempatan," katanya.
Katanya, pelan yang mengambil tempoh kajian selama dua tahun itu meliputi segenap aspek termasuk dalam soal pendidikan vokasional, pendidikan Islam serta pendidikan khas untuk orang kurang upaya (OKU).
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi komitmen untuk menyokong sepenuhnya PPPM 2013-2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
"Hanya dengan sokongan dan penglibatan semua pihak, baru kita dapat melihat hasil pelan ini dan dalam tempoh 13 tahun ini harus ada penambahbaikan dalam bidang pendidikan yang setara dengan negara-negara maju," katanya.

[Terbitan Utusan Malaysia, Khamis, 5 September 2013]

No comments:

Post a Comment