Blog ini merupakan blog rasmi Mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling 1 (BNK 1) ambilan Januari 2013 selepas menamatkan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP). Blog ini adalah hasil daripada usaha dan kerjasama daripada rakan kelas yang seramai 22 orang iaitu seramai 7 orang lelaki dan 15 orang perempuan.

Thursday 12 September 2013

Guru Lepasan IPG Tiada Semangat Mengajar???

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Ramai guru lepasan institusi pengajian tinggi atau institut pendidikan guru (IPG) tidak memiliki semangat untuk mengajar, ekoran profesion itu adalah jalan terakhir untuk mengelak daripada menjadi penganggur.
Disebabkan itu, boleh dikatakan ramai guru tidak mampu menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan utama.
Pernyataan itu adalah salah satu resolusi yang dibangkitkan dalam Forum Konsep Baharu Pendidikan Abad Ke-21 yang diadakan di Universiti Malaya hari ini.

"Jika perkara ini tidak ditangani dengan betul akan memberi kesan kepada anak-anak kita terutamanya yang baharu memasuki sekolah rendah kerana tiada guru yang betul-betul bersemangat tentang kerjayanya," kata peserta forum tersebut, Datuk Naim Mohamad yang menyertai forum tersebut.

Forum anjuran Global Peace Festival Malaysia dan Institut Pengurusan Penyelidikan dan Pemantauan Universiti Malaya itu turut dihadiri panel-panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Mereka ialah Timbalan Pengarah Kementerian Pendidikan, Dr. Azian Syed Abdullah; Pengasas dan Pengarah Eksekutif LeadIn Amerika Syarikat, Dr. Tony Devine; Ketua Pegawai Eksekutif Mindvalley Engage and Mindvalley Publishing, Veena Sidhu dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengetua-pengetua Sekolah Menengah, Datin Noorul Aini Ambak.

Selain itu, resolusi itu turut menyatakan bahawa persekitaran di IPG-IPG mempengaruhi kesan psikologi kepada bakal-bakal guru yang mana ada di antaranya masih berada di takuk lama sama ada dari segi peralatan, kemudahan dan lain-lain.
Berbanding dengan sekolah, perubahan berlaku setiap masa selari dengan kehendak sistem pendidikan rendah dan menengah yang dikehendaki kerajaan.

Begitu juga, didapati bakal-bakal guru yang terpilih mestilah dilengkapi ilmu pengetahuan yang terbaik kerana ada di sesetengah sekolah, pelajar lebih bijak daripada guru.
Sementara itu, Noorul Aini tidak menafikan kualiti sesetengah guru tidak begitu membanggakan kerana ada yang masuk menggunakan 'pintu belakang'.

"Risiko inilah yang menyebabkan ramai guru tidak bersemangat atau ala kadar menjalankan tugas masing-masing kerana mereka tidak berminat sebenarnya," katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu melihat pelbagai faktor yang menyelubungi masalah guru dan menanganinya dengan baik berbanding dibebani dengan pelbagai kerja-kerja sampingan lain yang boleh menjejaskan fokus guru.

Credit To: Wan Najib Wan Daud (Pengarang Utusan Malaysia)
Artikel: 11/9/2013

No comments:

Post a Comment