Blog ini merupakan blog rasmi Mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling 1 (BNK 1) ambilan Januari 2013 selepas menamatkan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP). Blog ini adalah hasil daripada usaha dan kerjasama daripada rakan kelas yang seramai 22 orang iaitu seramai 7 orang lelaki dan 15 orang perempuan.

Monday 30 September 2013

Lima langkah mengatasi gemuruh


Pernafasan
Lakukan pernafasan (tarik dan hembus) sehingga 30 kali. Pastikan nafas yang disedut hingga ke pusat dan tahan selama 7 saat sebelum hembus keluar. Untuk memastikan nafas disedut, cuba gunakan tangan kanan untuk pegang bahagian dada dan tangan kiri di bahagian pusat.

Persediaan dan latihan
Jika anda takut untuk berucap buat persediaan apa saja yang berkenaan. Selepas itu boleh berlatih seorang diri di hadapan cermin. Pastikan anda tersenyum apabila berhadapan dengan penemuduga ataupun khalayak ramai. Jangan terlalu memikirkan mereka dan hanya berikan tumpuan kepada apa yang ingin disampaikan. Jika diberi masa dua bulan, jangan tunggu sehingga minggu terakhir. Lakukan yang terbaik!

Terima dengan tenang
Apabila ada rasa gemuruh, terima dalam keadaan tenang kerana ini adalah salah satu cara berlakunya tindak balas agar dapat buat yang terbaik. Anggap rasa gemuruh sebagai teman dan bukannya lawan. Dengan ini membuatkan anda akan dapat mengawal perasaan itu lebih mudah lagi.

Sematkan kata positif
Ulang kata-kata yang memberikan motivasi dalam diri agar anda bertambah yakin untuk melakukan sesuatu perkara. Lakukan berulang-ulang dengan penuh emosi dan percaya diri bahawa anda boleh.

Berdoa
Cara ini dapat memberikan anda rasa tenang dan semangat untuk melakukan sesuatu dengan jayanya. Banyak doa yang boleh diamalkan agar anda sentiasa dalam keadaan sejahtera ketika melakukan setiap urusan yang mencabar keupayaan mental dan fizikal.

Selamat Mencuba

Thursday 26 September 2013

[Promo] Pameran Literasi Bahasa



Tarikh: 9 Oktober 2013
Tempat: Pusat Sumber Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman

Tuesday 24 September 2013

Galah Panjang : Tugasan GERKO 2011

Mengimbau Nostalgia Lalu,



#vbk1/2 : Montaj Galah Panjang [Edited'13]

Ingat lagi tak???


Thursday 19 September 2013

Kita Saling Memerlukan: Mengapa Sombong????

Sehebat mana pun seseorang, pasti dia memerlukan jasa orang lain. Sehina mana pun seseorang, pasti dia sudah pernah berbudi kepada orang lain. Ertinya, setiap orang ada nilai dan harga dirinya di sisi orang lain. Maka tidak patutlah timbul hina-menghina dan pecah-belah, kerana kita sebenarnya saling memerlukan.
Kerana itu janganlah merasa kita ini cukup gagah, tidak perlu kepada orang lain. Lantaran itu kita menyombongkan diri terhadap orang lain terutama orang yang lebih bawah daripada kita, seperti orang yang kita rasakan lebih miskin, lebih bodoh dan rendah pangkatnya daripada kita.

Sekalipun kita raja apalagi seorang rakyat biasa, atau kita majikan, apalagi kalau kita seorang kuli, sebenarnya kita ini lemah dan serba kurang. Kekuatan dan kehebatan kita adalah hasil pengorbanan orang lain. Tanpa pengorbanan dan kerjasama orang lain, kita tidak mungkin boleh memiliki keistimewaan dan kemuliaan seperti sekarang.

Tanpa tukang rumah, kita akan menjadi orang yang tidak ada tempat tinggal, terpaksa hidup berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit. Tanpa petani, kita ketiadaan beras, sayur-sayuran dan buah-buahan. Tanpa nelayan kita tidak akan berlauk. Tanpa tukang jahit, kita tidak akan berbaju. Tanpa tukang masak kita tidak dapat merasa makanan lazat. Tanpa penjual kita tidak ada bekalan makanan. Tanpa pekerja kita tidak akan dapat keperluan-keperluan hidup yang bermacam-macam jenis.

Pendek kata hidup kita ini sentiasa bergantung dan bersandar pada jasa dan pengorbanan orang lain. Seorang yang mahu bebas daripada mengharap sumbangan orang lain lebih-lebih lagi dengan Allah pasti akan merasa sangat susah bahkan mungkin akan mati kelaparan. Demikianlah sunnatullah, dijadikan manusia terpaksa merasa perlu kepada manusia lain agar mereka saling merasa terhutang budi dan perlu-memerlukan.
Rupa-rupanya sudah banyak kita menerima budi dan jasa orang lain. Bahkan mungkin jasa orang pada kita lebih besar dan lebih banyak daripada apa yang terdaya kita berikan kepada mereka. Kerana itu kita sepatutnya merasa malu dan terhutang budi kepada manusia lain lebih-lebih lagi kepada Allah SWT Pemilik Segalanya.

Sumbangan mereka besar pada tamadun manusia. Seeloknya kita mencari jalan bagaimana untuk membalas budi mereka itu dan mencari jalan bagaimana untuk menghiburkan mereka atau bagaimana untuk menolong memenuhi keperluan-keperluan hidup mereka.

Sepatutnya kita muliakan mereka sesuai dengan jasa mereka. Jangan sekali-kali kita sombong dan angkuh terhadap mereka dan membiarkan mereka dalam kesusahan atau meletakkan mereka di taraf yang hina seolah-olah merekalah manusia yang tidak berharga dan tidak berguna apa-apa di dalam kehidupan.
Di sisi Allah barangkali darjat mereka lebih mulia daripada kita.

Allah berfirman,
 إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ
Maksudnya: “Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa.” (Al Hujurat: 13)

Kalaulah hal ini diinsafi dan disedari sebenar-benarnya oleh setiap manusia, tiada seorang pun tergamak untuk berlaku sombong dengan orang lain. Sebaliknya, masing-masing rasa rendah diri dan memandang orang lain dengan rasa hormat dan kasih sayang.

Allah Yang Maha Bijaksana mencipta manusia pelbagai rupa, kelebihan dan kekurangan agar mereka lengkap melengkapi antara satu sama lain. Perkara begini sering dijadikan hujah untuk mengatakan Allah tidak adil, menciptakan manusia tidak sama rata, ada kaya, ada yang miskin, ada cantik, ada yang buruk rupa...sebenarnya disitu terdapat hikmah menunjukkan Maha Adil, Maha Pencipta, Maha Bijaksana Allah SWT.

Tidak mungkin jari-jari dapat digenggam jika semua jari-jari itu sama saiz dan panjangnya
Tidak mungkin jari-jari dapat digenggam jika semua jari-jari itu sama saiz dan panjangnya
Yang Allah nilai pada manusia itu hanya taqwanya. Allah jadikan manusia ini sedemikian rupa, agar berlumba-lumba berbekal dan mencari taqwa itu, agar selamat di akhirat nanti. Sedangkan jari-jari di tangan tidak Allah jadikan sama rata. Ada yang besar, ada yang halus, ada yang panjang, ada yang pendek, agar dapat memegang dan menggenggam.

Bila hakikat itu dilupakan, lahirlah sombong dan angkuh yang membawa kepada pergaduhan dan persengketaan. Sebaliknya jika dapat difahami bahawa kita sebenarnya saling memerlukan, akan amanlah hidup manusia ini.

Alhasil manusia akan hidup bersatu padu dalam satu susunan hidup masyarakat yang sama rata dan hormat-menghormati serta saling merasa perlu memerlukan antara satu sama lain. Tidak ada lagi masyarakat super scale, first class, second class, third class dan no class bahkan semuanya senasib. Hanya yang membezakan ketika itu adalah TAQWA, yang jadi penilainya ialah Allah SWT.

Ya, rupanya kita senasib. Senasib ertinya masing-masing tidak lepas daripada menerima dan mengharap bantuan orang lain. Senasib juga ertinya tidak lepas daripada kekuasaan Allah SWT, tidak lepas daripada dimatikan oleh Allah, tidak lepas daripada Alam Barzakh dan Alam Akhirat serta daripada Syurga dan Neraka. Maknanya manusia semuanya jadi satu kelas, satu hati dan benar-benar bersatu.

Hari ini kesedaran begitu belum wujud dalam masyarakat kita. Tidak ramai yang faham kenapa Allah jadikan orang besar, orang kecil, orang pandai, orang jahil, orang kaya, orang miskin, tauke, kuli dan lain-lain lagi. Kerana itu manusia tidak sedar yang mereka saling perlu-memerlukan, kait-mengait dan berhubung dengan hubungan yang penting. Apabila hal ini tidak disedari, terjadilah keadaan ketika masing-masing terasa dirinya lebih daripada orang lain.

Manakala yang kurang pula rasa hina diri dan hasad dengki. Lalu manusia hidup berantakan, pecah-belah dan tekan-menekan. Tidak ada kedamaian dan kasih sayang lagi. Kehidupan menjadi begitu tegang dan meruncing. Kebahagiaan di dunia sering terancam, di akhirat lebih-lebih lagi.
Menyedari hakikat ini marilah kita sama-sama merenung dan berfikir untuk mengubah sikap, membaiki keadaan dengan masing-masing memulakan sikap menghormati orang lain sebagaimana mereka menghormati dan mengasihi diri sendiri. Pernah Sayidina Muaz bertanya kepada Rasulullah , ”Bagaimana untuk selamat di hari Hisab nanti?”, maka jawab Rasulullah, ”Engkau kasihi orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri.”

Nukilan: 
محمد فضلي بن يوسف
28 Jamadil Awwal 1432H
01 Mei 2011


Thursday 12 September 2013

Guru Lepasan IPG Tiada Semangat Mengajar???

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Ramai guru lepasan institusi pengajian tinggi atau institut pendidikan guru (IPG) tidak memiliki semangat untuk mengajar, ekoran profesion itu adalah jalan terakhir untuk mengelak daripada menjadi penganggur.
Disebabkan itu, boleh dikatakan ramai guru tidak mampu menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan utama.
Pernyataan itu adalah salah satu resolusi yang dibangkitkan dalam Forum Konsep Baharu Pendidikan Abad Ke-21 yang diadakan di Universiti Malaya hari ini.

"Jika perkara ini tidak ditangani dengan betul akan memberi kesan kepada anak-anak kita terutamanya yang baharu memasuki sekolah rendah kerana tiada guru yang betul-betul bersemangat tentang kerjayanya," kata peserta forum tersebut, Datuk Naim Mohamad yang menyertai forum tersebut.

Forum anjuran Global Peace Festival Malaysia dan Institut Pengurusan Penyelidikan dan Pemantauan Universiti Malaya itu turut dihadiri panel-panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Mereka ialah Timbalan Pengarah Kementerian Pendidikan, Dr. Azian Syed Abdullah; Pengasas dan Pengarah Eksekutif LeadIn Amerika Syarikat, Dr. Tony Devine; Ketua Pegawai Eksekutif Mindvalley Engage and Mindvalley Publishing, Veena Sidhu dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengetua-pengetua Sekolah Menengah, Datin Noorul Aini Ambak.

Selain itu, resolusi itu turut menyatakan bahawa persekitaran di IPG-IPG mempengaruhi kesan psikologi kepada bakal-bakal guru yang mana ada di antaranya masih berada di takuk lama sama ada dari segi peralatan, kemudahan dan lain-lain.
Berbanding dengan sekolah, perubahan berlaku setiap masa selari dengan kehendak sistem pendidikan rendah dan menengah yang dikehendaki kerajaan.

Begitu juga, didapati bakal-bakal guru yang terpilih mestilah dilengkapi ilmu pengetahuan yang terbaik kerana ada di sesetengah sekolah, pelajar lebih bijak daripada guru.
Sementara itu, Noorul Aini tidak menafikan kualiti sesetengah guru tidak begitu membanggakan kerana ada yang masuk menggunakan 'pintu belakang'.

"Risiko inilah yang menyebabkan ramai guru tidak bersemangat atau ala kadar menjalankan tugas masing-masing kerana mereka tidak berminat sebenarnya," katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu melihat pelbagai faktor yang menyelubungi masalah guru dan menanganinya dengan baik berbanding dibebani dengan pelbagai kerja-kerja sampingan lain yang boleh menjejaskan fokus guru.

Credit To: Wan Najib Wan Daud (Pengarang Utusan Malaysia)
Artikel: 11/9/2013

Tuesday 10 September 2013

Tahniah

Kami mewakili semua anak Jabatan Bimbingan & Kaunseling IPG Kampus Darulaman, mengucapkan
TAHNIAH
Kepada:

Tn. Hj Mhd Shokkeri Ismail 
yang telah dinaikkan ke gred DG52

 Puan Laila Kasma Hj Hussein 
yang telah dilantik menjawat jawatan Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling

 Pn. Zuraida Bt Ahmad 
yang telah dilantik menjawat jawatan Timbalan Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling

Pengambilan Guru Hanya Dalam Kalangan 30 Peratus Graduan Terbaik - PPPM

[ARTIKEL:06/09/2013]

KUALA LUMPUR: Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan. 
Ini bermakna Kementerian Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik. 
Kementerian turut berhasrat untuk mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan murid. 
Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mulai tahun ini, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh. 
Program CPD itu termasuk latihan komponen teras dan elektif mengikut keperluan pembangunan diri yang akan diberi latihan secara individu daripada penyelia masing-masing. 
Pelan itu turut menyebut, guru boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan atau menjadi guru pakar. Selain itu, guru juga akan dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan instrumen penilaian baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah. 
Dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan. 
Setiap pengetua atau guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki sebelum boleh dilantik. Pengetua dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan berpindah dan bersara. 
Dalam pada itu, kementerian akan memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif. 
Kementerian juga akan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. 
Bagi memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang tahun ini. 

Perpustakaan video pengajaran oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh menggunakan sumber ini bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya sebagai alat ulang kaji. - BERNAMA

Friday 6 September 2013

10,000 Jawatan Pembantu Pentadbiran : Bantu Ringankan Beban Guru - Tan Sri Muhyiddin

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah-sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam menjalankan tanggungjawab pentadbiran.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rancangan yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
"Memang guru ada terasa beban dengan kerja-kerja pentadbiran tetapi itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru.
"Begitupun, antara langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang Pembantu Pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Soal Jawab TV3 di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, pelan yang mengambil tempoh dua tahun kajian itu sememangnya memberi penekanan besar kepada soal guru yang berkualiti dan berkemahiran.
Katanya, daripada 35,000 guru Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan penuh, sebanyak 5,000 guru telah diberikan latihan dan 10,000 guru lagi akan mengikuti latihan sama.
"Tidak hanya terbatas kepada guru Bahasa Inggeris, sebanyak 410,000 guru di seluruh negara akan dinilai dalam instrumen bersepadu," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, PPPM akan memberi tumpuan untuk melonjakkan bidang matematik dan sains di samping melahirkan modal insan yang berkualiti.
"Kita mahu melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum serta ada perimbangan sahsiah diri dan budi pekerti, dengan kata lain, insan kamil yang lengkap serba-serbi," katanya.
Jelas beliau, PPPM dihasilkan menerusi pelbagai rundingan meja bulat, program hari terbuka dan telah menerima beribu-ribu memorandum daripada golongan pendidik, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta segelintir golongan ekstrem.

"Dalam menyediakan laporan ini juga, kita mendapatkan pandangan pakar pendidikan dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada serta pakar-pakar pendidikan tempatan," katanya.
Katanya, pelan yang mengambil tempoh kajian selama dua tahun itu meliputi segenap aspek termasuk dalam soal pendidikan vokasional, pendidikan Islam serta pendidikan khas untuk orang kurang upaya (OKU).
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi komitmen untuk menyokong sepenuhnya PPPM 2013-2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
"Hanya dengan sokongan dan penglibatan semua pihak, baru kita dapat melihat hasil pelan ini dan dalam tempoh 13 tahun ini harus ada penambahbaikan dalam bidang pendidikan yang setara dengan negara-negara maju," katanya.

[Terbitan Utusan Malaysia, Khamis, 5 September 2013]

Wednesday 4 September 2013

Perbandingan Teori Kaunseling