Blog ini merupakan blog rasmi Mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling 1 (BNK 1) ambilan Januari 2013 selepas menamatkan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP). Blog ini adalah hasil daripada usaha dan kerjasama daripada rakan kelas yang seramai 22 orang iaitu seramai 7 orang lelaki dan 15 orang perempuan.

Tuesday 30 July 2013

Lepasan IPG diseru terus timba ilmu - Mohd. Said

JOHOR BAHRU 16 Julai - Seramai 189 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim di sini, dianugerahkan Diploma Perguruan sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-45 institut tersebut baru-baru ini.

Pengarah IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Mohd. Said Hasran berkata, beliau berharap mereka yang menerima diploma tersebut akan terus berusaha mencari ilmu meskipun sudah meninggalkan alam pengajian formal.

Menurutnya, dengan terus menimba ilmu dalam pelbagai cara diharap mampu memberi pengalaman yang tidak ternilai dalam usaha mendidik anak bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di masa akan datang.

"Dengan tamatnya majlis, maka sempurnalah sudah perjalanan graduan dalam menuntut ilmu dan saya berharap tidak terhenti di sini sahaja kerana banyak lagi yang boleh dipelajari mereka di luar sana.
"Tanda orang berilmu adalah pada watak dan adabnya dan bukan semata-mata pada sijil dan kelulusannya sahaja," katanya kepada pemberita dalam majlis konvokesyen tersebut yang diadakan di institut berkenaan di sini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru.

Mereka terdiri daripada graduan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia.

Dalam masa sama, Mohd. Said turut menyeru mereka menggunakan segala pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sekali gus menjadikan sekolah sebagai 'tapak semaian' penting bagi memupuk perpaduan dan semangat integrasi nasional.

"Kejayaan menamatkan kursus yang dihadiri meletakkan martabat latihan perguruan ke tahap yang membanggakan. Jadi, saya berharap kejayaan tersebut dapat dijadikan pemangkin untuk mendidik anak bangsa yang cemerlang," katanya.

Beliau turut berharap IPG Kampus Temenggong Ibrahim akan terus unggul dalam melahirkan ahli profesional dalam bidang perguruan yang mempunyai wawasan dan daya inovasi berasaskan budaya ilmu serta etika kerja berkualiti dan berintegriti.


Sumber: http://www.utusan.com.my

ARKIB : 17/07/2013

No comments:

Post a Comment