KUALA LIPIS 23 Julai - Penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) diminta memasarkan diri dan bersedia dengan pelbagai pengetahuan serta kemahiran untuk memahami keperluan masyarakat sebelum memasuki alam perguruan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, kemahiran dan pengetahuan perguruan termasuk falsafah pendidikan merupakan antara platform meningkatkan kecemerlangan pelajar selari dengan acuan pembangunan modal insan di luar bandar.
"Saya berharap pengurusan IPG, pensyarah dan penuntut berkenaan dapat bekerjasama dengan penduduk luar bandar atau pedalaman termasuk Orang Asli untuk menerapkan kemahiran pembelajaran serta motivasi bagi memacu kejayaan pelajar.
"Inilah pengalaman sebenar apabila penuntut yang bakal bergelar pendidik nanti turun padang bersama penduduk untuk mengubah sikap masyarakat supaya peka sekali gus menyahut aspirasi transformasi pembangunan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penuntut (JPP), Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis di Hotel D'Valley, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah IPGKTAA, Datuk Jaafar Idris; Timbalan Pengarahnya, Mohd. Nordin Abdullah dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dzulkarnain Mat.
Menurut Mustapa, latihan tersebut sentiasa berubah dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) baharu di samping kemahiran psikologi untuk menghadapi cabaran seperti kematangan dan sosial pelajar yang bermula di peringkat prasekolah.
Tambahnya, penuntut di institusi itu perlu memenuhi keperluan masyarakat setempat di daerah ini dalam memahami masalah pelajaran di luar bandar sebagai asas membentuk kepimpinan sebagai seorang profesional.
Katanya, kerjasama dengan IPG itu antara usaha dalam menjayakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sejajar matlamat menjadi negara maju menjelang 2020.
Sumber: http://www.utusan.com.my/
ARKIB : 24/07/2013
No comments:
Post a Comment